Manusia suka melihat kejayaan orang lain dan menumpang kegembiraan mereka, walhal diri sendiri gagal mencapai apa yang diingini meski sudah berusaha sehabis mungkin. Aku seringkali merasai perasaan itu. Aku gagal sementara mereka berjaya. Mereka; rakan-rakanku tidak kiralah di sekolah mahupun di universiti. Aku cuma ada perasaan ingin terus belajar untuk sementara, iaitu setelah melihat kejayaan orang sekelilingku. Ingin aku mentertawakan diriku sendiri. Ha-ha, kelakarnya sehingga air mata ini tertumpah yang kemudiannya bertukar menjadi mutiara kekecawaan dan penyesalan. Kerana apa? Kerana tidak berjaya untuk meneruskan semangat ingin belajar tersebut.
Ya, memang aku suka termenung jauh. Memang aku suka bersendirian. Memang aku jarang bergurau senda apatah lagi berkata-kata. Aku tidak pandai berlawak sinis dengan rakan-rakanku. Aku hanya tahu tumpang tawa dan mendengar. Mungkin sebab itu aku merasakan diri ini seperti halimunan.
"Termenung? Kau dah kenapa Syu?" Tanya Kamal. Aku sekadar tersenyum. Sudah lali dengan soalan sebegini.
"Temuduga okey? Apa kata mereka?" Aku menukar topik. Aku sedang menemani Kamal bertemuduga untuk melayakkan dirinya menjadi seorang pelajar di universiti tersebut. Aku yang sudah dua bulan menjadi pelajar jurusan bahasa Inggeris berasa sedikit simpati terhadap Kamal. Keputusannya yang hanya cukup makan membuatkan dirinya sukar untuk diterima dimana-mana institusi belajar. Untuk ke universiti atau kolej swasta, memang keadaan keluarga Kamal tidak mengizinkan. Keluarganya yang hidup serba kekurangan itu amat mengharapkan tulang empat kerat Kamal. Sementalah dia anak sulung dari lima adik-beradik.
Kamal menggaru belakang kepala. Rambutnya pendek, wajahnya bersih dihiasi kumis nipis, dan matanya sederhana besar bersama bulu kening yang tebal. Sekali pandang memang kacaklah rupa rakanku ini! Ramai juga yang mempersoalkan hubungan antara kami tapi jawapannya tetap sama: kawan.
"Eh, kau mesti lapar, kan? Tunggu aku bukannya sekejap tadi. Nasib baik tempat menunggu tadi ada penghawa dingin. Kalau tak, bermandi peluhlah kau, Syu!" Seloroh Kamal aku hidupkan dengan tawa halusku.
"Belanja aku makan rojak Singapura di Restoran Syed." Kataku dalam perjalanan kami ke kereta Kamal yang diparkir tidak jauh dari tempat menungguku tadi.
Kamal memandu kereta dengan kelajuan kebiasaan bagi kaum remaja marcapada. Aku hanya mampu memegang tempat duduk dengan kuat, sementara kaki sudah menekan-nekan tempat letak kaki seolah-olah aku sedang menekan brek bagi pihak Kamal. Tiba di lampu isyarat, Kamal hanya terkekeh ketawa melihat keadaan aku. Aku tahu dia sengaja memandu begitu. Dia suka melihat aku dalam ketakukan, pernah Kamal memberitahu. Comel, tambahnya. Aku tidak dapat melihat dimana comelnya aku dalam keadaan takut begini. Wajah yang pucat dan berpeluh dan ketegangan dikatanya comel?
Sesampainya di luar restoran, Kamal memakirkan kereta dengan penuh berhati-hati. Dia suka parkir kereta dengan mengundur dan terus masuk dengan hidung kereta. Lebih mudah. Aku hanya diam, mengangguk. Orang yang tiada pengalaman membawa kereta boleh beri respon apa saja? Lebih baiklah aku diam dari tersalah bicara. Nanti tidak pasal-pasal, aku dibahan olehnya. Kamal kalau sudah mengusik orang, boleh lupa dunia. Alangkah bagusnya jika Kamal belajar seperti bersungguhnya dia menyakat aku?
"Okey, kita sudah sampai! Jom." Kami keluar dari perut kereta. Aku menyentuh perutku apabila terdengar ia berbunyi semacam. Aku memandang ke kiri dan Kamal sudah membesarkan matanya sebelum tertawa halus.
"Ya Allah! Syu, bunyi perut kau ke tu? Ha-ha! Comelnya!" Aku tidak faham istilah 'comel' seorang Kamal yang kukenali ini. Bagi aku, comel ialah bayi. Namun bagi Kamal... comel adalah segala-galanya mungkin? Sekejap comel, sekejap comel. Lidahnya basah dengan ungkapan comel itu. Nahaslah Kamal kalau aku bertukar menjadi comel yang berisi!
Kami duduk di meja yang agak jauh dari perhatian manusia. Kamal memanggil seorang pelayan dan kami memesan satu rojak Singapura serta dua air jus buah. Kamal meminta diri untuk ke tingkat dua, ke surau. Semasa menunggu untuk giliran temuduga tadi dia terlupa melihat jam, sebaliknya merehatkan mata di sebelah aku. Aku pula disebabkan 'cuti', terlupa mengingatkan dia agar solat Zohor terlebih dahulu. Kini Zohor sudah berada di akhir waktunya.
Makanan tiba ke meja kami sepuluh minit selepas Kamal pergi solat. Aku melilau-lilau mencari kelibatnya apabila dia tidak lagi memunculkan diri setelah lima minit berlalu. Rojak Singapura masih berwap. Air jus aku dan Kamal pula tiba. Merasakan ada getaran dari dalam kocek, aku selak sedikit baju agar dapat menyeluk tangan ke kocek sebelah kiri seluar.
Makanlah dahulu. Aku nak Asar ni. Selamat menjami selera! - Kamal
Aku tersenyum. Telefon diletakkan di atas meja. Air jus lobak susu aku hirup sedikit sebelum menjamah suapan pertama rojak. Sambil mengunyah aku mengucap memuji Allah yang telah mengurniakan aku segala-galanya. Tempat tinggal yang selesa, ibu bapa yang memahami, rakan-rakan yang mengajar aku erti pengorbanan dan kesabaran, dan yang paling penting: negara yang aman lagi damai ini. Skrin telefon bercahaya dan telefon bergetar. Aku mencapainya dan membaca mesej yang baru masuk.
Eh, tertypolah! Selamay menjamu selera! - Kamal
Aku berkerut sebelum tersenyum lucu. Baru perasan kesalahan menaip pada mesej pertama. Kini mesej kedua pula ada kesalahan. Aku menggeleng kepala. Tiada kredit untukku membalas mesejnya yang lucu-lucu ini. Tidak cukup dengan dirinya yang sering membuatkan aku sakit perut menahan tawa, ditambahnya typo dalam mesej-mesejnya! Memang dilahirkan sebagai seorang penghiburlah rakanku ini! Untung siapa yang menjadi jodohnya kelak. Dalam pada bergurau senda, Kamal seorang yang mengambil berat perihal rakan-rakannya. Itu satu bonus buat dirinya.
Aku tidak berselera makan seorang diri apabila kami sudah bersetuju memesan satu sahaja makanan. Menurut Kamal, makan berkongsi itu adalah sunnah Rasulullah. Sungguh, sejak mengenali Kamal dengan lebih rapat, aku terasa diri ini kerdil. Begitu banyak ilmu agama di dadanya walaupun luarannya dia bergaul bebas.
"Syu, maaf lambat!"
"Aku masih belum terlambat, kan?" Tanpa sedar aku menuturkan apa yang bermain di minda.
"Huh? Apa dia?" Kamal menarik pinggan berisi rojak Singapura.
"Kau pun masih belum terlambat, Kamal. Andai kata temuduga tadi tidak berjaya, kau masih ada peluang. Kau masih muda." Tiba-tiba aku jadi bersemangat.
Kamal terus berhenti dari menyuap garfu ke mulut. Dia membasahkan tekak dengan jus tembikai susunya dahulu sebelum bertanya, "Kau sedang bercakap pasal apa ni, Syu? Aku dah lost ni."
"Belajar."
"Syu, maaf lambat!"
"Aku masih belum terlambat, kan?" Tanpa sedar aku menuturkan apa yang bermain di minda.
"Huh? Apa dia?" Kamal menarik pinggan berisi rojak Singapura.
"Kau pun masih belum terlambat, Kamal. Andai kata temuduga tadi tidak berjaya, kau masih ada peluang. Kau masih muda." Tiba-tiba aku jadi bersemangat.
Kamal terus berhenti dari menyuap garfu ke mulut. Dia membasahkan tekak dengan jus tembikai susunya dahulu sebelum bertanya, "Kau sedang bercakap pasal apa ni, Syu? Aku dah lost ni."
"Belajar."
No comments:
Post a Comment