Tuesday, February 5, 2013

Menangis Lagi


SENYUMANNYA menawan. Keprihatinannya membuatkan aku terpikat terhadap dirinya yang tidak pernah kukenali itu. Agak pelik namun inilah hakikatnya. Diriku dan dirinya sudah empat tahun menjadi rakan sekolah namun sekalipun aku tidak pernah perasan akannya. Kiranya seperti berselisih bahu pun aku tidak pandang. Tetapi kini…

Namanya Taufiq. Pada hari fikiranku sedang bercelaru dengan berbagai masalah, dia menghadirkan diri dan menjadi tempatku meluahkan apa yang terbuku di dada. Dia diam, mendengar. Dia bersuara, menasihati. Taufiq memberiku semangat untuk kembali menghadapi realiti hidup dan berhenti mengeluh.

“Setiap apa yang sedang kita alami sekarang, adalah ujian ataupun dugaan daripada Allah Taala. Awak tahu mengapa Allah memberatkan fikiran awak dengan bermacam perkara?” Soalnya lembut. Tidak memandang ke mataku sebaliknya ke hadapan.

Aku menggeleng. Meski aku tidak bersuara, aku pasti dia nampak gelengganku dari sisi matanya.

“Hanya ada satu jawapan, iaitu, Allah Maha Besar ingin melihat sejauh manakah tahap keimanan hamba-hambaNya kepadaNya? Allah Maha Adil, wak. DIA tidak akan membebankan seseorang itu dengan masalah yang dia tidak dapat tangani. What you are going through right now, is something that you can face. In shaa Allah!”

Aku menoleh. Bibirnya terukir segaris senyuman. Walaupun hanya dari pandangan sisi sahaja, dapatku lihat ketampanan jejaka yang sedang duduk di sebelahku ini. Taufiq tidak lama menemaniku di pondok. Hal ini demikian kerana tempat itu sunyi dan hanya ada kami berdua. Amatlah tidak manis jika dilihat orang. Apatah lagi kami di dalam kawasan sekolah. Setelah mengucapkan penghargaanku terhadapnya yang telah sudi mendengar luahanku, Taufiq segera pergi. Aku masih di situ. Di pondok. Bersama senyuman lebar.

SETELAH menunggu auntie Rina selama sejam di luar kawasan sekolah, aku mengambil keputusan untuk pulang dengan berjalan kaki sahaja. Daripada terus membuang masa di sini, adalah lebih baik aku pulang sementalah cikgu-cikgu banyak memberi kerja sekolah. Sekilas aku menjeling jam yang kemas terikat di pergelangan tangan kiriku. Jam 1515. Teringatkan Zuhur yang masih belum di dirikan, segara aku menuruni bukit ke bawah dan memasuki kawasan sekolah. Ke surau langkahku menuju.

Pabila melintasi surau untuk ke bahagian Muslimah, telingaku menangkap perbualan seseorang di bahagian luar Muslimin. Aku menoleh ke arah suara itu dan terus mencari tempat untuk menyorok. Aku bersandar pada dinding tempat berwudhuk Muslimin.

“Mak, saya pulang lewat sikit hari ni. Saya nak ulangkaji di sekolah.” Suaranya aku kenali.

“Err… tak makan lagi. Sebenarnya.., saya terlupa nak bawa ubat tu.” Diam sebentar. Kemudian aku terdengar keluhan berat. Selepas itu suara tersebut menjawab salam sebelum melangkah ke arah tempat wudhuk. Cepat-cepat aku membuka kasut dan berlari ke arah tempat solat Muslimah.

Sesampainya ke dalam ruangan solat, aku melepaskan keluhan sambil beristighfar. Kusedar kesalahanku yang telah mencuri dengar perbualan orang lain tanpa izin orang tersebut. Aku mengurut dada yang dilanda resah kerana takut setelah melakukan dosa. Namun aku kembali teringat perbualan Taufiq antara emaknya. Yang mendapat perhatianku adalah perihal ubat yang terlupa dibawa oleh Taufiq ke sekolah. Ubat apakah? Dan untuk apakah? Aku menggaru tudung sambil menyorotkan bibir ke kiri. Akhirnya aku memutuskan untuk melupakan sebentar hal tersebut dan meneruskan dengan niatku untuk menunaikan rukun Islam kedua.

Sejadah aku lipat dan diletakkan ke dalam laci yang tersedia di dalam surau. Melihatkan aku orang terakhir yang keluar dari surau, aku menutup suis lampu dan kipas. Sedang aku menyarung stokin ke kaki, fikiranku kembali mengimbau apa yang telah aku dengar sebentar tadi. Taufiq sakitkah? Perkara ini tidak asing lagi kerana telah banyak aku lihat insiden seperti ini berlaku dalam drama-drama baik Melayu mahupun Korea. Kalaupun Taufiq sedang menghadapi masalah kesihatan, adakah ia serius dan membahayakan masa depannya? Tiba-tiba aku terdorong untuk bertanya perihal kesihatannya.

Semasa melangkah keluar dari surau dan melintasi bahagian Muslimin, aku sempat melihat sepasang kasut berwarna hitam di luar. Berdekatannya adalah sebuah beg galas berwarna perang kehitaman berserta beberapa buah buku rujukan yang tebal belaka. Aku ingin melihat siapakah pemilik barang-barang tersebut namun terbantut apabila Taufiq keluar dari surau. Dia menutup pintu dan menyelak selak. Aku ingin memanggilnya tetapi dibatalkan niat itu apabila memikirkan yang kami tidak begitu mengenali antara satu sama lain. Lantas aku mengambil keputusan untuk terus berlalu dari situ.

“Awak! Awak, tunggu!”

Bagai lembu dicucuk hidungnya, aku hanya menurut arahannya. Aku menunggunya mengenakan stokin dan kasut serta menyilang beg di dada. Saat dia terbongkok untuk mengambil buku-buku rujukan, imbangnya seolah-olah hilang lantas dia terduduk kembali. Aku terkejut. Aku bergegas mendapatkan dirinya yang sudah memicit-micit dahi.

“Awak, okey tak? Kenapa ni?” Aku mengambil buku-buku tebal lagi berat itu tetapi tidak duduk sebaliknya hanya berdiri. Dapatku rasakan dahiku berkerut kerana risau akan kondisi Taufiq sekarang. Adakah hal yang berlaku beberapa saat tadi ada kaitannya dengan perbualan Taufiq bersama emaknya? Apakah fungsi ubat yang telah dimaksudkan? Aku mengetap bibir.

TAUFIQ tidak banyak berkata selepas insiden yang berlaku sejam yang tadi. Kini aku sedang duduk di meja kantin bersamanya. Sengaja aku memberi alasan ingin stayback di sekolah untuk belajar. Hal yang sebenarnya adalah aku khuatirkan kondisi Taufiq. Mataku masih tajam penglihatannya. Aku dapat melihat betapa lelaki di hadapanku kini sedang bermandi peluh. Apakah penyebabnya, masih lagi misteri.

Sememangnya aku ingin bertanya kepada Taufiq namun takut dilabel menjaga tepi kain orang pula. Tetapi melihatkan keadaan Taufiq, aku jadi resah dan bersalah. Aku ingin menolongnya! Buat seketika, masalah di rumah aku lupakan dan hanya fokus pada lelaki yang hampir tidak kukenali ini. Taufiq. Ke manakah kau selama ini? Mengapa baru sekarang kau memunculkan diri?

Taufiq berdehem. Aku tersedar dari lamunan panjang. Aku terus menarik kerusi agar dekat dengan katil Taufiq. Aku memandang dirinya. “Nak air?” Dia angguk. Aku bangun dan menuang air dari botol mineral ke dalam cawan berstraw. Seterusnya aku menolong Taufiq menselesakan diri agar mudah untuk menghirup air dari cawan. Dia tersenyum setelah menghabiskan air. Aku turut tersenyum melihatkan dirinya yang semakin sembuh.

Taufiq tidak lama menyedarkan diri. Sekejap saja dia sudah kembali lena. Tenang saja aku melihatnya melayan mimpi. Tidak semena-mena, air mata bergenangan di kelopak mata. Aku teringat kembali saat Taufiq terbaring layu di dalam dakapanku. Aku cuba menghapuskan air mata dari terus membasahi pipi, namun…

MENDENGAR ceramah kesihatan amatlah membosankan. Hampir separuh pelajar di dalam dewan tertutup itu sudah melelapkan mata dalam posisi duduk. Terdapat juga pelajar yang melentokkan kepala ke bahu rakan sebelah sambil menahan kantuk. Tidak kurang yang menyorotkan badan ke bawah sedikit dengan harapan penceramah tidak begitu nampak mereka, lalu memejamkan mata. Lain pula denganku.

Mataku bulat terjaga, telingaku tajam mendengar, manakala tanganku pantas menulis apa yang sempat aku proseskan di minda dengan bantuan neuron-neuron dan reseptor dari dalam tubuh badan. Penceramah menegaskan bahawa kesihatan seseorang itu bermula sejak dari rumah lagi. Iaitu dengan pengambilan sarapan yang berkhasiat seperti mihun goreng, buah-buahan dan minuman kopi panas.

Aku menoleh ke belakang sebentar untuk melihat keadaan Taufiq. Ternyata dirinya sedang tertunduk sambil tangan kanan setia memicit dahi dan batang hidung. Aku terus mengetap bibir tanda risau. Pada masa itu, aku hanya mampu berdoa agar Taufiq dapat bertahan dalam segala apa yang dia sedang hadapi kini. Aku sedar dia memerlukan aku disisinya pada waktu-waktu seperti sekarang sementalah hal kesihatannya yang semakin teruk tidak dikhabarkan kepada kedua emak abahnya.

Selesai ceramah yang berlangsung selama dua jam itu, para pelajar Tingkatan Lima dan Empat dibenarkan keluar untuk mengisi perut di kantin. Oleh sebab pelajar perempuan yang dibenarkan keluar dahulu, aku menunggu Taufiq di luar sambil berpeluk tubuh. Melihat kelibat Taufiq, aku menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya dia masih mampu berjalan walaupun kondisinya tidak begitu baik. Aku tidak terus merapatinya sebaliknya berjalan beberapa tapak di hadapannya.

Sesekali aku mencuri pandang ke belakang dan apabila kebetulan pandangan kami bersatu, aku mengukirkan senyuman. Dia membalas.

Keadaan kantin yang agak lengang memudahkan lagi urusan jual beli makanan antara pekerja kantin dan para pelajar. Aku pada mulanya enggan membeli makanan namun setelah dipujuk Taufiq, akhirnya aku membeli semangkuk mee sup dan sekotak susu. Kami tidak duduk semeja sebaliknya bersama rakan masing-masing. Aku tidak begitu selesa mengunyah mee kerana mataku sakit melihat Taufiq yang asyik memegang perutnya. ‘Sakitnya bertambahkah? Bukankah ubat telah Taufiq telan di rumah tadi? Atau…’ Pada saat itulah Taufiq bangkit. Aku perasan dia ingin datang ke arahku tetapi kudratnya sudah berkurangan. Dia rebah!

“TAUFIQ…” Aku menyeru namanya tanpa sedar. Aku bisa lihat betapa sukarnya untuk dia mencelikkan mata. Lantas aku menyuruhnya agar kembali tidur dan memohon maaf kerana ganggu lenanya. Dia kembali memejamkan mata dan terus air mataku gugur ke pipi.

 Kanser usus yang dihidapinya nasib baik belum teruk. Atas kekerasanku menyuruhnya ke hospital sedikit sebanyak membantu. Hal ini demikian kerana kata doktor, jika Taufiq tidak datang kepadanya dalam masa terdekat, kemungkinan kansernya merebak dan semakin teruk.

Selepas menjalani pembedahan, Taufiq kini sudah dua bulan terlantar di hospital. Segala kerja sekolah guru-guru telah kirimkan kepadaku agar memberinya kepada Taufiq. Mungkin mood untuk belajar belum meresap sepenuhnya ke dalam jiwa Taufiq kerana segela kerja sekolah hanya dibiarkan terlonggok di atas meja bulat tidak jauh dari katil. Aku pandang Taufiq. Kelihatan dahinya berkerut-kerut. Aku mendekatkan kerusi ke tepi katil.

“Awak, kenapa ni?”

Dia tidak menjawab, sebaliknya kedua-dua tangan sudah memegang perut. Aku tidak bisa berbuat apa-apa. Hanya memandang dengan simpati. Berat mata memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul. Pasti dia terasa sakit pada bahagian doktor bedah.

PAGI itu lenaku diganggu rengekan Taufiq. Dia mengadu sakit. Aku memintanya agar bersabar. Tahan. Meski aku tidak pernah dibedah di mana-mana bahagian, dapat aku rasakan kesakitan kesan sampingan daripada pembedahan tersebut. Selepas Subuh, aku berasa begitu mengantuk kerana sepanjang pagi aku terjaga membantu menenangkan Taufiq.

Jadi, aku mengambil kesempatan yang ada untuk melelapkan mata. Sementara Taufiq sedang lena. Selimut yang disediakan pihak hospital buat penjaga pesakit membaluti tubuhku. Sesungguhnya keadaan begitu dingin meski suhu sudah diturunkan ke 24 Celcius.

Tidak sampai sepuluh minit aku memejamkan mata, mimpi pun belum sempat, telingaku sudah menangkap suara Taufiq merengek sakit perut. Aku sebolehnya tidak mahu bangun dan terus berbaring. Badanku juga sudah terasa sakit kerana asyik terlelap di atas kerusi. Tengkuk terasa sudah tidak boleh diangkat lagi. Namun aku gagahkan diri jua. Kini baru aku tahu; menjaga orang sakit memerlukan kesabaran kerana kerenah mereka tidak mengikut masa. Kekadang semasa kita solat mereka akan buat bising. Tetapi inilah yang dipanggil dugaan.

Aku berdiri di sebelah katil. Memandang Taufiq dengan senyuman. Meminjamkan kekuatan kepada Taufiq. Aku tidak bisa berwajah masam kerana Taufiq sedang sakit. Jika aku tidak mamaniskan muka, sama saja ertinya bahawa menjaganya adalah sebuah beban berat dan memenatkan. Orang yang sedang sakit amatlah sensitif. Oleh itu, aku harus terus bersikap positif dalam melayaninya.

“Nurse baru lepas bagi pain killer kat awak tadi. Cubalah bertahan, ya?”

Dia menggeleng. “Sakit, Qeela…” Lemah suaranya, selemah keadaannya sekarang.

 “Awak tidak boleh terus-terusan begini, Fiq. Awak harus sabar dalam menghadapi dugaan daripada Allah ini. Kuatkan semangat, Fiq.” Hanya itu yang bisa aku lakukan. Memberi kata-kata semangat serta mendoakannya. Selebihnya adalah kuasa Allah. Kun fayakun! Jika jadi katanya, maka jadilah.

Teringat aku tentang sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim. “Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.”

“Sesuatu ujian itu akan menimpa hambaNya kerana Allah sayangkannya. Allah ingin mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh daripada hambaNya, dari Musnad Firdaus oleh Dailami.”

Tiba-tiba aku terdengar bunyi beep, beep! yang nyaring daripada mesin di sebelah katil. Selalunya apabila hal begini terjadi, sesuatu yang buruk sedang berlaku! Aku mengalih pandang kea rah Taufiq pula. Jelas sekali dia sedang berada dalam keadaan sukar untuk bernafas. Aku terus menjerit memanggil doktor. Sekejap saja doktor sudah menolak pintu bilik. Dibelakangnya beberapa orang jururawat.

Aku dengar doktor mengarahkan salah seorang daripada jururawatnya agar membawaku keluar dari bilik. Aku tidak mahu. Aku berkeras untuk berdiri di situ. Aku ingin menemani Taufiq. Aku mohon kepada doktor agar membiarkan aku di dalam bilik namun doktor tidak berkompromi. Dia tetap menyuruhku keluar dari bilik. Aku terpaksa akur atas arahan itu meski hati ini berat meninggalkan Taufiq bersama mereka.

Agak lama juga mereka di dalam sehinggalah pintu kembali terbuka. Terkejut aku melihat katil Taufiq dibawa keluar sekali. Aku terus menerpa doktor.

Aku dapat merasakan sesuatu buruk bakal berlaku. Doktor juga kelihatan sukar untuk bersuara. “Beginilah, cik…” Mendengarkan itu saja aku sudah sukar untuk bernafas. Dia menyuruhku masuk ke biliknya agar mendapat lebih privasi dalam berbicara. Oleh sebab hanya aku yang ada di situ, dia terpaksa jua menerangkan tentang hal sebenar kepadaku. Ibu bapa Taufiq masih di London. Setelah Taufiq selamat dibedah dan dalam kondisi stabil, mereka terus terbang ke sana atas urusan perniagaan.

“Kami tidak tahu bagaimana perkara ini boleh terjadi. Sangka kami kanser tersebut telah berjaya dikeluarkan daripada usus besar Taufiq. Tetapi entah bagaimana, kanser itu kembali merebak dan kini semakin teruk! Kemungkinan besar… Taufiq tidak dapat diselamatkan atas alasan keadaannya yang lemah sekarang. Walaubagaimanapun, kami akan cuba sedaya upaya kami untuk menyelamatkan kawan cik.” Doktor berdiri dan meninggalkan aku di situ untuk menerima segala apa yang telah dia beritahu.

Sebelum dia menutup pintu, dia berpesan, “Prepare for the worst, cik.”

Taufiq! Ya Allah, kuatkanlah Taufiq. Selamatkanlah dia…

No comments: