Raihan
duduk di pangkin rumah. Bertemankan kucing kesayangan. Angin bertiup dengan
sepoinya. Rambut panjang dan lurusnya beralun lembut membuatkan para gadis yang
melihat cemburu dan para jejaka terpaut.
Ah… Raihan melepas keluh. Dia mendongak ke langit. Awan putih berarak
perlahan. Cahaya matahari yang redup membuatkan bibirnya terukir segaris
senyuman. Wajah arwah abang terbayang-bayang di awanan. ”Anna rindu abang...”
Raihan memandang kucing pungutan yang sudah terlena di pahanya. Diusap kepala
kucing itu dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Terdengar bunyi purr yang
sering si kucing bunyikan. Raihan tersenyum dalam mata yang sudah berkaca.
”Anna! Mari masuk! Majlis tahlil akan
mula beberapa minit lagi.” Panggilan ibu dihiraukan. Dia menolak perlahan
badan kucing yang sudah mengulit mimpi. Tapak tangannya menolak dengan
hati-hati supaya kucing tidak terjaga. Namun terbangun jua si kucing yang
tembam. Ia mengiau memandang Raihan. Raihan usap dagunya menyebabkan ia kembali
lena di pangkin.
Selesai majlis tahlil untuk arwah abang,
Raihan ke dapur untuk menolong ibu membasuh pinggan mangkuk dan cawan. Lengan
baju kurung dilipat ke paras bawah siku.
”Tolong cucikan. Ibu nak ke depan. Hantar
tetamu.” Pesan ibu. Raihan cuma angguk tanpa bantahan.
Dia kusyuk membasuh sehingga tidak
perasan akan kehadiran Iman. Sepupunya itu sudah lama berdiri di sebelah
Raihan. Hanya Raihan yang tidak perasan. Jenuh Iman memandang wajah bujur
Raihan namun gadis itu tetap asyik mencuci pinggan mangkuk dan cawan.
Sehinggalah Iman berdehem beberapa kali.
”Oh, abang! Ada apa?” Raihan
terkejut dan terus mencuci kesan Sunlight di tangan. Kain diambil untuk lap
tangan sebelum bersalaman dengan sepupunya.
”Sudah lama kuberdiri di sini, namun
si gadis manis masih saja kusyuk membasuk pinggan. Betapa rajinnya si gadis
ini.” Cuitan di dagu membuatkan Raihan malu.
Dia tidak hiraukan Iman dan kembali
membasuh pinggan mangkuk dan cawan yang masih banyak. Iman ambil kain lalu
mulai menolong Raihan. Dia ambil pinggan mangkuk dan cawan di tempat pengering
untuk dikeringkan menggunakan kain. Sesekali matanya curi pandang wajah Raihan
yang cantik dan tenang itu. Sayangnya Raihan tidak memakai tudung. Kalau tidak,
pasti wajah gadis di sebelahnya bertambah manis.
Selesai membasuh dan mengeringkan
semua pinggan mangkuk dan cawan, Raihan dan Iman merehatkan diri di ruang tamu
sambil menonton drama Tanah Kubur. Sedang asyik melayan drama penuh pengajaran
itu, tiba-tiba bahu Iman terasa berat. Dia memandang ke kanan dan mendapati
kepala Raihan sudah terlentok pada bahunya. Rambut yang menutupi dahi gadis itu
ditolaknya kebelakang telinga. Keletihan terpancar pada wajah sepupunya.
Kasihan Raihan kehilangan abang di usia yang masih muda. Sudahlah mereka rapat
bagai isi dan kuku. Ke mana saja mereka pergi, pasti bersama. Sampaikan ada
yang tersalah anggap mereka sebagai pasangan kekasih dan bukannya adik-beradik.
”Lah budak ni. Pergi tidur atas bahu
Iman pulak.” Ibu datang dari luar setelah menghantar semua tetamunya pulang.
Yang tinggal hanyalah keluarga abangnya.
”Takpe, makcik. Dia letih ni. Satu
hari asyik layan saudara mara yang datang. Minggu lepas pulak baru kehilangan
Raja.” Iman pandang wajah Raihan dengan penuh kasih sayang.
”Hmm... makcik harap dia dapat
terima ketentuan Allah ni, Iman. Makcik harap dia sabar.” Ibu berdiri di
belakang sofa. Tangannya mengusap rambut Raihan dengan kepiluan. Sukar dia
ingin bayangkan hari-hari Raihan yang akan datang tanpa Raja. Iman cuma angguk.
Ibu meminta Iman mengendong Raihan ke atas supaya anaknya boleh tidur dengan
lebih lena di atas katil.
Ucapan takziah daripada rakan-rakan dan para
guru tidak putus-putus kepada Raihan. Gadis itu hanya boleh angguk. Ikutkan
hati, dia ingin ponteng sekolah untuk lagi seminggu. Terlalu banyak kenangannya
bersama Raja di sekolah. Mereka kembar tak seiras. Raja awal lima minit. Setiap kali
Raihan berjalan-jalan di kawasan sekolah, dia boleh nampak dia dan Raja di
mana-mana. Di kantin, di pondok, di perpustakaan, di tapak perhimpunan, di
dewan terbuka, di Koperasi Sekolah, di depan Bilik Guru dan Pejabat... Pokoknya
mereka ke mana saja pasti bersama!
”Aku nak ponteng sekolah, boleh?”
”Boleh. Jom aku temankan!” Rafael
berkata. Raihan senyum.
Tamat saja sekolah, Raihan mengemas
beg dengan tidak bermaya. Dia menoleh ke kanan. Kerusi plastik disentuhnya penuh syahdu. Dahulu Raja duduk di situ.
Apabila tibanya masa untuk pulang, Raja akan mengemas barang-barangnya manakala
dia mengemas barang-barang Raja. Mereka akan berjalan bersama. Raja tidak ada
teman istimewa. Begitu juga Raihan. Kata Raja, Raihanlah adik dan kekasihnya.
Dia hanya ingin disayangi oleh Raihan. Raja begitu sayangkan Raihan sampaikan dia tidak benarkan
Raihan mempunyai kekasih.
”Abang... Semoga roh abang ditempatkan
dikalangan orang-orang yang beriman. Semoga dosa-dosa abang diampunkan Allah.
Anna rindu abang...” Langit dipandang. Awan berarak perlahan. Wajah Raja muncul
dengan senyuman di wajah. Dia mengenyitkan mata ke arah Raihan. Raihan tergelak sendiri. Dan wajah
Raja hilang. Raihan tersenyum.
Sampai saja di rumah, Raihan
terpandang pangkin. Dia ternampak Raja dan dirinya sedang belajar sambil
bergurau senda bersama rakan-rakan yang lain. Raihan mengatur langkah ke arah pangkin.
Raja sedang mengajarnya Kimia sementara dia sibuk mengukir sesuatu pada meja di
pangkin. Raihan meletak beg di kerusi. Tangan meraba meja yang terukir
ukirannya.
Y AND I are CHEMISTRY (:
Raihan menangis. Setelah sekian lama dia cuba untuk
tidak menumpahkan air mata, akhirnya tertumpah jua. Setitik demi setitik air
matanya tumpah ke meja dan ukirannya. Raihan duduk di kerusi sambil memeluk
kaki. Dia menangis semahu-mahunya.
“Anna… nanti bila abang sudah tiada, jangan menangis
telalu kerap ya?” Raja berpesan sebelum dia keluar untuk ke surau.
“Kenapa?” Raihan soal penuh manja. Dia senyum memandang
abang kembarnya.
“Sebab Anna buruk bila nangis banyak! Macam janda ditinggalkan lakinya.”
Raihan tergelak. Dia dongak ke
langit. Selepas berkata begitu, Raja terus memeluk erat adik kembarnya sebelum
melambaikan tangan buat kali terakhir. Raja dalam perjalanan pulang ke rumah
apabila sebuah kereta terlanggarnya dari arah belakang. Raja meninggal di tempat kejadian.
Raihan terus pengsan saat berita itu disampaikan kepadanya.
”Hei, kenapa menangis ni? Kan Raja
dah pesan jangan menangis. Macam janda kehilangan laki, katanya.” Iman
bersandar pada dinding pangkin. Tangannya dalam kocek seluar. Di bibirnya ada
segaris senyum. Dia duduk di hadapan Raihan.
”Abang pun rindukan Raja, Anna.
Setiap kali selepas solat, abang sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa untuk dia.
Abang dah janji dengan dia untuk jaga Anna. Sehari sebelum Raja pergi, dia
seolah-olah tahu masanya tidak lama. Dia minta abang jaga Anna. Dia tahu Anna
tak kuat. Tapi dia sayangkan Anna. Dan abang pasti dia tak suka tengok Anna menangis
sekarang.” Iman memandang mata Raihan yang memerah.
Kucing pungutan yang amat sayangkan
Raihan memunculkan diri. Ia mengiau kemudian melompat ke atas kerusi. Ia berjalan dan duduk di sisi Raihan sambil
mengeluarkan bunyi purr. Seperti tahu-tahu saja Raihan sedang memerlukan
seorang teman. Raihan usap kepala kucing itu membuatkan bunyi purrnya bertambah
kuat.
“Tengok tu! Kucing tu pun tak suka
Anna bersedih.”
Iman ambil kucing itu lalu
meletaknya di depannya. Dagu kucing itu dia garu dan matanya perlahan-lahan terpejam. Apabila Iman
berhenti saja menggaru, matanya terus terbuka. Ia memandang Iman meminta supaya
dagunya digaru lagi.
“Anna nak buka klinik haiwan statu
hari nanti.”
“Kenapa?”
“Sebab itu adalah cita-cita abang
dan Anna.” Raihan
mendongak ke langit buat kesekian kalinya.
Sepuluh tahun kemudian...
”Hari ini ada appointment dengan mana-mana pesakit tak?”
Itri memeriksa buku log di kaunter.
”Tidak ada, puan. Kenapa?”
Raihan tersenyum. ”Hari ini kita tutup
awal sedikit. Saya ada hal. Tutup kedai ni baik-baik, ya?” Itri angguk.
Raihan memandu kereta dengan mata
berkaca. Hari ini genap sepuluh tahun Raja meninggalkannya. Genap sepuluh tahun
juga Raihan hidup tanpa abang tersayang disisi. Namun impian mereka tercapai.
Setelah Raihan selesai melanjutkan pelajaran dalam bidang Veterinar dan
menggenggam segulung PhD., dia berjaya membuka sebuah klinik haiwan dengan
pertolongan Iman yang ada PhD. dalam bidang business.
Nama kliniknya adalah R & R For Pets.
Dari kejauhan, dia ternampak tubuh
seseorang di sebelah kubur abang kembarnnya. Siapakah? Mungkin salah seorang
rakan abang. Raihan meneruskan berjalanan berliku di celah-celah kubur. Dia harus
berhati-hati. Takut nanti terlangkah kubur orang. Semakin dekat dengan kubur
abang barulah Raihan cam siapa itu. Iman.
”Assalamualaikum, bang.”
Iman ternyata terkejut. Dia fikir
Raihan akan sampai lebih lewat dan dia sempat pergi dari situ. Kalau boleh
memang dia tidak mahu bertemu dengan Raihan setelah apa yang berlaku setahun
yang lepas. Dia meluahkan isi hatinya untuk menjadikan Raihan suri hidupnya
namun ditolak mentah-mentah oleh Raihan. Sejak itu, mereka tidak berhubung
lagi. Setiap mesej dan panggilan dari Raihan dia tidak hiraukan. Malah nombor
telefon sepupunya itu juga sudah dibuang dari telefon.
Raihan faham apabila Iman langsung
tidak memandangnya. Dia terus membentang tikar dan mengeluarkan surah Yaasin
dari dalam tas tangan. Dia membacanya dalam hati dan setelah selesai, dia
angkat tangan. Berdoa untuk abangnya. Kemudian kubur Raja dibersihkan. Segala
daun-daun kering dan ranting dibuang ke tepi. Dia menyiram air berbunga ke atas
kubur Raja. Raihan bangun setelah semuanya selesai. Iman yang masih berteleku
di situ tidak diendahnya. Dia tidak boleh memaksa perasaannya sendiri untuk
menyukai sepupunya. Lagipun, perkahwinan antara sepupu dan sepupu tidaklah
digalakkan dalam Islam.
”Anna, tunggu...” Iman berdiri.
Tikarnya digulung dan surah Yaasin kecilnya disimpan dalam kocek baju Melayu.
Dia berjalan dibelakang Raihan. Sampainya di kereta Raihan, dia meminta Raihan
menunggu untuk mendengar penjelasannya.
”Abang minta maaf. Abang tak patut
letakkan harapan yang tinggi pada cinta Anna. Abang sepatutnya lebih memahami
diri Anna. Maafkan abang, Anna. Tapi abang tak boleh nafikan yang abang masih
mencintai Anna. Abang akan tunggu Anna.” Kata-kata Iman berbaur harapan yang
tinggi.
Raihan geleng. ”Jangan, bang. Jangan
letakkan harapan abang terlalu tinggi. Bukakanlah pintu hati abang untuk wanita
lain. Anna tahu, ramai lagi wanita yang sesuai untuk abang di luar sana. Kak Pija, rakan sekerja abang
tu. Anna tengok dia semacam minat je kat abang. Bagilah peluang kepada dia.” Senyuman
manis yang telah membuatkan Iman cair menghiasi wajah cantik Raihan. Dirinya
yang sudah bertudung kini menambahkan kecantikan yang sedia ada pada dirinya.
"Anna balik dulu, bang. Datanglah ke
rumah kalau ada kelapangan. Ibu dah banyak kali tanyakan abang.” Kata Raihan
sebelum menutup pintu kereta.
”Insya-Allah.”
”Assalamualaikm. Hati-hati pandu
kereta.”
Mata Iman mengiringi pemergian
kereta Raihan yang kemudiannya hilang disebalik selekoh. Dia mengeluh sambil
memandang ke langit. Langkahnya lemah ke arah keretanya. Masuk saja ke dalam
kereta, dia merendahkan tempat duduk. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas
dahi.
”Kak Pija, rakan sekerja abang tu.
Anna tengok dia semacam minta je kat abang. Bagilah peluang kepada dia.”
Kata-kata Raihan terngiang-ngiang di minda. Iman tergelak seketika. Tajam betul
pemerhatian Raihan sampaikan perkara sekecil itu pun dia boleh perasan. Tapi
ada kebenarannya juga. Pija sering menemaninya makan tengah hari bersama dan menolongnya dalam
hal-hal kerja. Kepada Pija jugalah dia mengadu apabila cintanya ditolak Raihan.
Telefon Iman bergetar. Dia
mengeluarkannya dari kocek seluar dan nama Pija tertera. Dia tersenyum seraya
memicit punat hijau.
No comments:
Post a Comment