Aku dapat tahu yang engkau sudah pun berpunya. Aku benci engkau! Tapi, aku tidak boleh meletakkan semua kesalahan di bahu engkau kerana aku sendiri yang tidak pernah memberitahu bahawa aku menyukai engkau.
Aku tengok engkau dan dia keluar ke mana-mana bersama. Ke tandas juga. Engkau tunggu di luar dan dia di dalam. Di surau juga begitu. Engkau tunggu sehingga dia selesai solat. Kadang kala, dia yang menunggu engkau. Aku pula? Menunggu kalian berdua.
Sekarang sudah lima bulan kalian bersama. Engkau masih lagi berkepit dengan dia. Aku cemburu. Hati aku berkecamuk. Aku benar-benar menyukai engkau. Tidak dapatkah engkau melihatnya? Buku contengku sudah penuh dengan namamu, wahai kaum Adam. Tiada siapa yang tahu bahawa engkau sudah melekat di hatiku. Tidak seorang pun yang tahu kecuali Allah.
Suatu hari, aku sedang memakai kasut sekolah di surau. Hanya aku dan beberapa pelajar lain di situ. Aku ternampak engkau. bersama dia. Kalian sedang bergaduh. Aku sudah tersenyum. Aku berdoa kalian akan putus di situ kerana aku mahu memberitahu engkau perkara sebenar. Aku ingin memberitahu bahawa aku menyukai engkau sejak mula lagi.
Dia pergi selepas kalian bertekak di hadapan surau. Orang lain tidak peduli tetapi aku peduli. Aku memberanikan diri untuk berdepan dengan engkau. Aku menegur engkau. Hati aku berdup dap dengan pantas. Engkau menyapa kembali tetapi aku dapat melihat wajah kacak engkau bertukar sugul. Pipi engkau juga basah. Aku tidak pernah melihat engkau menangis.
Engkau meminta diri. Aku ingin menahan tetapi tidak jadi. Aku kembali ke kelas. Tiba-tiba ada suara memanggil namaku. Imah...Imah... suara itu memanggil. Aku mencari di sekeliling. Oh, dia yang memanggilku. Kaum Hawa yang telah membuatkan aku berasa cemburu. Dia ialah kekasih engkau. Nama dia Effizel. Aku memanggilnya Effi.
Dia meluahkan segala-galanya kepadaku. Aku tersentak. Effi menghidap penyakit. Satu penyakit yang merbahaya. Aku cuba menenangkannya. Akhirnya, aku sendiri yang menangis. Disebabkan penyakit inilah dia memutuskan hubungan dengan engkau. Engkau tidak tahu katanya. Dia merahsiakan perkara ini dari engkau. Dia meminta aku merahsiakannya.
Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Kalian semakin rengang. Aku semakin rapat dengan Effi. Tiba-tiba, semasa aku dan Effi sedang berjalan di taman permainan, dia rebah. Aku segera menelefon keluarganya. Mereka membawa Effi dan aku ke HUKM.
Aku dan keluarganya menunggu doktor di ruang tunggu. Apabila doktor keluar dari bilik Effi, bapanya menerpa ke arah doktor. Aku memandang doktor. Doktor kata hati Effi hanya berfungsi separuh. Effi memerlukan separuh lagi hati untuk terus hidup. Aku bangun dan memberitahu doktor aku ingin memberi separuh hatiku kepada Effi. Mereka semua terkesima.
Doktor menelefon ibu bapaku. Mereka datang secepat mungkin. Banyak kali mereka bertanya, adakah aku benar-benar ingin melakukan pembedahan ini? Kerana kata doktor, kemungkinan kami berdua hidup adalah tipis. Mungkin hanya seorang dari kami yang akan hidup. Aku tetap dengan keputusanku. Telah aku mendirikan solat istikharah dan ini adalah keputusan yang tepat.
Selesai pembedahan, kami berdua masih bernyawa tetapi aku dapat rasakan aku tidak akan hidup lama. Hanya untuk beberapa hari. Solat aku tidak tingga. Aku meminta ibu membeli dua tiga helai kertas pad. Abu menurut.
Ini adalah tiga helai kertas yang ibu belikan. Aku sedang menulis ini sementara aku masih hidup. Aku ingin memberitahu engkau, jika engkau terbaca surat ini, bermakna aku sudah tiada. Aku sudah pergi meninggalkan engkau dan dia tetapi aku ada tinggalkan sesuatu yang akan sentiasa ada bersama engkau dan dia.
Aku dengar dari ibu, engkau sudah kembali bersama dengan Effi. Tahniah! Aku telah tinggalkan sekeping hati yang amat bermakna buat engkau. Hati itu kini berada di dalam Effi. Iya. Aku yang mendermakan hatiku kepada dia.
Dengan itu, aku ingin katakan. AKU CINTAKAN ENGKAU EIMAN.
salam sayang, Hakimah.
No comments:
Post a Comment